GCC, AS umum bantuan AS$11 bilion untuk keselamatan makanan

Bernama
Julai 17, 2022 11:50 MYT
Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman (tiga, kiri) dan Joe Biden (dua, kiri) ketika bersedia untuk sesi foto menjelang Sidang Kemuncak Keselamatan dan Pembangunan Jeddah di Arab Saudi, 16 Julai 2022. - Foto Saudi Royal Court/REUTERS
ANKARA: Anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengumumkan akan menyediakan bantuan bernilai AS$11 bilion untuk menangani cabaran keselamatan makanan serantau dan antarabangsa, lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
AS menyambut baik "keputusan Kumpulan Penyelarasan Arab (ACG), yang dianggotai 10 institusi pembangunan kewangan untuk menyediakan sekurang-kurangnya AS$10 bilion sebagai respons kepada cabaran keselamatan makanan," menurut kenyataan bersama GCC dan AS pada sidang kemuncak Arab Saudi-AS di Jeddah.
Menurut kenyataan itu negara-negara GCC juga mengalu-alukan pengumuman bantuan AS sebanyak AS$1 bilion bagi keselamatan makanan jangka pendek dan jangka panjang untuk rantau Asia Barat dan Afrika Utara.
GCC turut merakamkan penghargaan atas penubuhan Pasukan Petugas Gabungan 153 dan Pasukan Petugas 59 yang akan bersama meningkatkan penyelarasan pertahanan antara negara anggota GCC dan US Central Command untuk memantau ancaman maritim.
Sidang kemuncak Arab Saudi-AS diadakan pada Sabtu yang turut dihadiri Presiden Joe Biden, pemimpin dari negara-negara GCC, Mesir, Iraq dan Jordan.
-- BERNAMA
#Majlis Kerjasama Teluk #Keselamatan makanan #Amerika Syarikat #sidang kemuncak Arab Saudi-AS
;