Gaza: WHO bantu keluarkan 14 pesakit dari Hospital Nasser
Bernama
Februari 19, 2024 16:10 MYT
Februari 19, 2024 16:10 MYT
ISTANBUL: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membantu memindahkan 14 pesakit dari Hospital Nasser di bandar Khan Younis yang dikepung tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Ahad.
Pesakit itu termasuk lima yang sedang menjalani dialisis serta tiga lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi telah dihantar ke hospital di selatan hasil usaha WHO, lapor Agensi Anadolu.
Israel terus menerima tekanan agar kesemua pesakit di hospital itu dipindahkan memandangkan hospital berkenaan telah diubah suai menjadi berek tentera selepas rejim itu memutuskan bekalan elektrik dan menghalang peranti oksigen daripada beroperasi.
Terdahulu, kementerian berkata bahawa 150 pesakit di hospital berkenaan tidak mendapat sebarang rawatan dan 70 anggota kesihatan telah ditahan.
Israel juga tidak membenarkan pesakit dipindahkan ke hospital lain.
Kementerian Kesihatan di Gaza sebelum ini mengumumkan bahawa jumlah pesakit yang meninggal dunia di unit rawatan rapi Hospital Nasser meningkat kepada lapan orang akibat penjana dan peranti oksigen berhenti beroperasi.
Israel menggempur Semenanjung Gaza sejak 7 Okt dan telah membunuh hampir 29,000 serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.
Rejim Zionis itu turut dituduh melakukan genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah-langkah menjamin bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam di Gaza.
-- BERNAMA