Gaza terus meruncing, bantuan perubatan sangat diperlukan - Aktivis muda Palestin
Harits Asyraf Hasnan
Mei 20, 2021 17:33 MYT
Mei 20, 2021 17:33 MYT
KUALA LUMPUR: Situasi di Palestin terutama di Gaza masih meruncing dengan jumlah kematian serta mereka yang cedera terus meningkat.
Aktivis muda Palestin, Nisreen Al-Khatib berkata, bekalan dan fasiliti perubatan terutama di Gaza juga makin mendesak.
Malah, katanya, jumlah mereka yang cedera serta kritikal terus meningkat disebabkan Israel menyekat rakyat Palestin mendapatkan rawatan di negara jiran.
"Mereka kekurangan katil di hospital termasuk bekalan dan peralatan perubatan terutama untuk pembedahan.
"Jika anda ke hospital di Semenanjung Gaza, anda akan melihat pesakit terbaring di lantai disebabkan katil tidak mencukupi.
"Anda akan jumpa puluhan mereka yang menanti kebenaran daripada Israel untuk mendapatkan rawatan di luar kerana kita tidak ada ubat-ubatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Ujarnya, situasi yang meruncing di Gaza ketika ini memerlukan tindakan pantas organisasi serta badan dunia termasuk mengadakan sekatan terhadap Israel yang masih meneruskan serangan ke atas penduduk di negara itu.
"Saya menggesa negara-negara di seluruh dunia untuk melaksanakan sekatan yang ketat susulan penaklukan Israel ini.
"Kami melihat banyak protes di peringkat antarabangsa dari segenap pelusuk dunia untuk memboikot Israel, sekatan terhadap Israel serta membawa mereka ke mahkamah antarabangsa.
"Bagaimanapun, kami masih belum melihat sebarang perubahan di kawasan ini," katanya.
Nisreen dalam masa sama merakam penghargaan atas sokongan dan sumbangan rakyat Malaysia kepada Palestin.
Beliau turut meletakkan harapan suara lantang Malaysia akan berterusan selain tidak tenggelam di sebalik kuasa-kuasa besar dunia.
#Israel
#Gaza
#serangan
#mahkamah
#Palestin
#serangan Israel
#kematian di Palestin
#kekejaman zionis Israel
#Nisreen Al-Khatib
#Aktivis muda
#perubatan
#sumbangan Palestin
#bantu rakyat Palestin