Gaza lapor kes polio pertama dalam tempoh 25 tahun

Bernama
Ogos 17, 2024 13:45 MYT
Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah memaklumkan bahawa seorang bayi berusia 10 bulan di Deir al-Balah, disahkan positif virus polio setelah menjalani ujian di Jordan. - Gambar/ Reuters
RAMALLAH: Semenanjung Gaza merekodkan kes pertama jangkitan virus polio dalam tempoh 25 tahun pada Jumaat, ketika wilayah itu terus bergelut dengan konflik yang berpanjangan.
Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah memaklumkan bahawa seorang bayi berusia 10 bulan di Deir al-Balah, disahkan positif virus polio setelah menjalani ujian di Jordan.
Xinhua melaporkan bahawa sebelum konflik tercetus pada Oktober 2023, wilayah itu bebas dari polio selama 25 tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bayi itu tidak menerima sebarang vaksin polio.
Kementerian itu memaklumkan pasukan mereka di Gaza dan Tebing Barat, dengan kerjasama organisasi antarabangsa, bekerja keras sejak beberapa minggu lepas untuk membangunkan pelan komprehensif bagi kempen vaksinasi polio yang diperluas di Semenanjung Gaza.
Serangan berterusan Israel terhadap Gaza menyebabkan bencana kesihatan di wilayah terbabit.
Pada Jumaat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa pihaknya akan melancarkan kempen dua fasa untuk memberi suntikan vaksin kepada lebih 640,000 kanak-kanak di Gaza yang berumur di bawah 10 tahun bermula pada akhir Ogos.
WHO meluluskan pengeluaran 1.6 juta dos vaksin polio dan Tabung Kanak-Kanak PBB sedang menyelaraskan usaha penghantaran dan peralatan yang diperlukan untuk penyimpanan, menurut PBB.
Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan menyatakan sokongan terhadap seruan PBB pada Jumaat untuk gencatan senjata selama tujuh hari bagi memvaksin ribuan kanak-kanak dan menuntut penghantaran ubat-ubatan dan makanan kepada lebih dua juta rakyat Palestin yang terperangkap di wilayah itu.
-- BERNAMA
#Gaza #polio #WHO #Palestin