“Gaza jadi zon maut” - Ketua WHO

Bernama
Februari 22, 2024 16:39 MYT
Kekurangan zat makanan yang teruk telah meningkat secara mendadak di seluruh Semenanjung Gaza sejak konflik bermula. - Gambar fail/AP
NEW YORK: Situasi kesihatan dan kemanusiaan yang "tidak berperikemanusiaan" kini berlaku di seluruh Gaza dengan keadaan terus merosot, menurut ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu.
Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Gaza telah umpama sebuah zon maut.
"Sebahagian besar wilayah telah musnah. Lebih 29,000 orang terbunuh dan ramai lagi hilang atau dianggap meninggal dunia manakala ramai lagi penduduk cedera," katanya dalam sidang media.
Kekurangan zat makanan yang teruk telah meningkat secara mendadak di seluruh Semenanjung Gaza sejak konflik bermula, meningkat daripada kurang satu peratus penduduk kepada lebih 15 peratus di beberapa kawasan.
"Angka ini akan meningkat lebih lama perang ini berlangsung dan bekalan terputus," kata Tedros.
Ketua WHO itu turut menyuarakan kebimbangan mendalam apabila agensi-agensi seperti Program Makanan Sedunia (WFP) tidak dapat akses ke wilayah di utara Gaza.
Beliau turut mengulangi risiko serius yang dihadapi oleh pekerja bantuan dan menekankan kepentingan untuk memastikan keselamatan mereka.
-- BERNAMA
#Gaza #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #WHO #Tedros Adhanom Ghebreyesus #zon maut #perang Palestin Israel
;