Gaza hilang 66 peratus pekerjaan
Bernama
Disember 21, 2023 13:33 MYT
Disember 21, 2023 13:33 MYT
BEIRUT: Gaza kehilangan hampir 66 peratus pekerjaan sejak konflik Israel-Palestin tercetus pada 7 Okt, menurut data Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS) pada Rabu.
Menurut data PCBS sebanyak 192,000 pekerjaan hilang di Gaza setakat 30 Nov manakala di Tebing Barat pula pekerjaan berkurangan sebanyak 32 peratus atau bersamaan 276,000 pekerjaan.
"Rakyat Palestin di Gaza sedang berdepan malapetaka kemanusiaan yang luar biasa," kata Pengarah Serantau ILO untuk Negara Arab Ruba Jaradat.
Presiden PCBS Ola Awad berkata kadar pengangguran pula mencapai tahap tertinggi dalam beberapa dekad.
Pejabat media kerajaan di Semenanjung Gaza berkata serangan Israel mengakibatkan 20,000 rakyat Palestin di wilayah itu terbunuh manakala lebih 52,000 lagi cedera sejak 7 Okt.
Pada masa sama, kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel di Tebing Barat telah meningkat kepada 303 orang, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.
-- BERNAMA