Gaza hadapi peningkatan bayi pramatang dan keguguran

Astro Awani
November 19, 2023 07:45 MYT
Seorang jururawat menjaga bayi pramatang yang dibawa ke sebuah hospital di Rafah dari Hospital al-Shifa. - Foto AP
GAZA: Gaza menyaksikan peningkatan risiko kelahiran pramatang, kematian bayi dan keguguran semenjak konflik meletus di Gaza 7 Oktober lalu.
Ia berikutan keadaan dahsyat yang dikenakan Zionis Israel telah menyebabkan wanita hamil menghadapi kesukaran mendapatkan penjagaan kesihatan, tekanan psikologi dan keadaan kebersihan yang tidak memuaskan disebabkan situasi perang.
Menurut Pengarah Jabatan Bersalin dan Nurseri Hospital Nasser di Khan Younis, Walid Abu Hatab, jumlah kelahiran bayi telah menurun dua kali ganda.
Ini kerana ibu mengandung tertekan disebabkan situasi perang yang kejam dikenakan rejim Zionis.
"Sejak awal serangan di Semenanjung Gaza, kami benar-benar menderita, terutamanya pemberhentian semua program susulan kehamilan, pemberhentian semua perkhidmatan penyusuan, pemberhentian banyak perkhidmatan susulan obstetrik.
"Di Semenanjung Gaza, kami mempunyai sekurang-kurangnya 50 ribu wanita hamil sekarang, dan wanita ini memerlukan rawatan susualn kehamilan, malangnya, telah berhenti sepenuhnya," katanya.
Selain itu, sekatan elektrik menyebabkan mereka terpaksa sediakan bantuan kesihatan yang terhad kepada wanita hamil dan ibu yang baru melahirkan anak.
Ia disebabkan kekurangan bahan api untuk peralatan kecemasan, kekurangan kakitangan, selain keadaan hospital yang sangat sesak dengan jumlah pesakit dan penempatan mangsa pelarian.
"Kami mengalami kekurangan kadar perubatan, dan banyak penyedia perkhidmatan dan juga kami mengalami kekurangan bahan api dan elektrik.
"Sekarang, kita telah kurangkan, atau catu, tenaga elektrik supaya kita boleh terus membekalkannya kepada taska dan jabatan penjagaan rapi, tetapi malangnya jika bahan api ini kehabisan dan elektrik terhenti, semua jabatan rawatan rapi dan taska akan menjadi kubur besar-besaran," katanya.
Hospital Nasser terletak di Khan Younis, bahagian selatan Semenanjung Gaza sedang menempatkan puluhan ribu orang yang dipindahkan dari utara Gaza.
Migrasi tersebut telah menyebabkan kesesakan teruk, selain kekurangan makanan dan air untuk terus hidup.
Menurut Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk, wabak penyakit dan kelaparan seolah-olah "tidak dapat dielakkan" di Gaza selepas lebih sebulan serangan Israel ke atas kawasan yang padat penduduk Palestin.
Turk berkata kehabisan bahan api turut menjadi "malapetaka" di seluruh Gaza, yang membawa kepada keruntuhan sistem kumbahan, penjagaan kesihatan selain kekurangan bantuan kemanusiaan untuk dibekalkan kepada mangsa perang di Gaza.
#Gaza #bayi pramatang #keguguran #Israel
;