Gaza di ambang kebuluran, malapetaka kemanusiaan - Presiden Suruhanjaya Eropah

Bernama
Mac 22, 2024 23:27 MYT
Pemimpin itu secara bersama menggesa penyediaan bantuan kemanusiaan penting untuk meringankan keadaan teruk yang dihadapi oleh warga Gaza. - Gambar Reuters
LONDON: Pemimpin Kesatuan Eropah Charles Michel dan Ursula von der Leyen pada Khamis mengeluarkan kenyataan tegas berhubung keperluan tindakan kemanusiaan segera di Gaza selain mengulangi sokongan Kesatuan Eropah (EU) untuk penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin, lapor Agensi Anadolu.
Dalam sidang media bersama selepas hari pertama sidang kemuncak Majlis Eropah di Brussels, Michel menekankan situasi yang sangat teruk dan memberi amaran supaya tiada sebarang serangan darat di bandar Rafah di selatan Gaza.
"Bayangkan apa akibatnya jika operasi sebegitu dilancarkan," katanya sambil menggariskan kemungkinan kesan kemanusiaan yang dahsyat daripada tindakan sedemikian.
Beliau mengulangi pendirian EU terhadap undang-undang antarabangsa, khususnya mengutuk penempatan haram Israel dan menyokong proses politik disambung semula.
Menyuarakan sentimennya, von der Leyen menekankan keperluan mendesak untuk jeda kemanusiaan yang membawa kepada gencatan senjata yang berterusan di Gaza.
"Gaza berada di ambang kebuluran, situasi kemanusiaan yang dahsyat," katanya.
Beliau berkata Majlis Eropah sebulat suara menyokong langkah untuk akses kemanusiaan penuh, cepat, selamat dan tanpa halangan ke Gaza, dengan pengesahan khusus koridor maritim dari Cyprus untuk meningkatkan usaha penyampaian bantuan.
Pemimpin itu secara bersama menggesa penyediaan bantuan kemanusiaan penting untuk meringankan keadaan teruk yang dihadapi oleh warga Gaza.
Mereka menekankan keperluan 500 trak atau setara memasuki Gaza setiap hari melalui semua laluan yang ada, termasuk darat, udara dan laut.
Pemimpin itu juga mengulangi komitmen teguh EU untuk mencapai keamanan yang berkekalan dan mampan berdasarkan penyelesaian dua negara.
"Kami menggesa kerajaan Israel untuk tidak melakukan serangan darat di Rafah," kata von der Leyen.
-- BERNAMA
#serangan darat #Israel #Gaza #bantuan kemanusiaan
;