'Gaza bukan milik Israel, Gaza milik Palestin' - Bekas PM Israel

Agensi
Februari 7, 2025 08:00 MYT
Ehud Olmert, bekas Perdana Menteri Israel. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk "mengambil alih" Gaza, dengan menyatakan kepada BBC rancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana wilayah itu bukan milik Israel untuk diserahkan kepada sesiapa.
Dalam program World News America di BBC, Olmert berkata, beliau menyambut baik bantuan AS untuk membina semula Gaza, tetapi hanya jika ia dibina oleh dan untuk rakyat Palestin.
"Saya dengar Amerika mengharapkan Israel menyerahkan Gaza kepada mereka. Kami tidak boleh melakukannya kerana kami tidak memilikinya: Gaza bukan milik kami (Israel). Gaza milik Palestin."
Olmert pernah menjadi ahli Parti Likud, parti yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, selama lebih 30 tahun.
Namun, pada 2006, beliau bersama Ariel Sharon meninggalkan parti tersebut untuk melaksanakan pengunduran tentera dan penduduk Israel dari Gaza. - Agensi
#PM Israel #Ehud Olmert #Amerika ambil alih Gaza #Donald Trump
;