Garis panduan pembedahan plastik di United Kingdom diperketat

Agensi
Mac 6, 2016 10:34 MYT
Tahun lalu sahaja terdapat 51,000 operasi pembedahan kosmetik dilakukan di UK iaitu peningkatan sebanyak 13% berbanding tahun 2014. - Foto fail Astro AWANI
United Kingdom (UK) akan mengeluarkan satu garis panduan baharu bagi melindungi pengguna yang melakukan pembedahan komestik dari menjadi mangsa syarikat yang mengguna pendekatan pemasaran secara agresif.
Menerusi garis panduan baru itu tarikan seperti diskaun, tawaran masa terhad, baucar hadiah dan kad diskaun diharamkan digunakan doktor yang melakukan prosedur itu.
Rakyat UK yang melakukan pembedahan kosmetik dilihat semakin meningkat saban tahun.
Menurut Persatuan Pembedahan Plastik Estetik British (BAAPS), peningkatan jumlah lelaki dan wanita yang menjalani pembedahan kosmetik disambut baik persatuan itu.
Namun pihak persatuan bimbang apabila ada syarikat yang menawarkan khidmat rawatan untuk sekadar mengaut keuntungan.
Angka terkini menunjukkan industri itu mengaut keuntungan £3.6 bilion (RM20.80 bilion) setahun.
Tahun lalu sahaja terdapat 51,000 operasi pembedahan kosmetik dilakukan di UK iaitu peningkatan sebanyak 13% berbanding tahun 2014.
Bagi salah seorang pengguna Dawn Knight, tindakan memperketatkan undang-undang pembedahan plastik adalah langkah yang baik memandangkan ramai lagi yang naif mengenai prosedur dan perlindungan mengenainya.
Knight yang pernah menjadi mangsa salah laku prosedur selepas membuat pembedahan kelopak mata, sehingga kini tidak dapat menutup matanya dengan betul.
“Di Facebook saya sahaja ada lebih 10 iklan sehari dari syarikat kosmetik. Strategi pemasaran mereka agak agresif yang sebenarnya secara beretika mereka perlu memberikan perkhidmatan yang baik kepada pelanggan dan berupaya memberi pelanggan jangkaan yang realistik mengenai perkhidmatan mereka.
“Namun apa yang penting adalah kurangnya jaringan keselamatan yang pengguna perlukan, yang mana kita fikir ada, tetapi sebenarnya tidak ada,” katanya kepada AP.
Majlis Perubatan Umum Britain dijangka memperkenalkan garis panduan baharu itu April ini.
Doktor yang tidak mematuhi prosedur pembedahan plastik baru itu akan digantung daripada pendaftar perubatan dan dibawa ke tribunal awam.
#Britain #Doktor #pembedahan kosmetik #pembedahan plastik #United Kingdom
;