Gara-gara tidak membayar selepas digunting rambut, lelaki ditembak mati

Astro Awani
Mei 31, 2021 07:42 MYT
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Loyola University. - Gambar hiasan
GARA-gara tidak membayar selepas terima khidmat gunting rambut, seorang lelaki di Illinois, Amerika Syarikat ditembak mati.
Kejadian berlaku pada Khamis lalu di sebuah kedai di Maywood, menurut polis.
Suspek, Deshon McAdory, 40 tahun, ditahan polis sejurus selepas kejadian dan didakwa di mahkamah pada Ahad atas tuduhan membunuh Christian McDougald, 31 tahun, lapor Chicago Sun-Times.
Namun menurut peguam yang mewakili tertuduh, Anthony Burch, McAdory bertindak demikian kerana mempertahankan diri.
"Seorang pelanggan datang ke kedai tersebut. Selepas menerima khidmat gunting rambut, dia enggan membuat pembayaran.
"McAdory dan McDougald kemudian bertengkar di luar kedai gunting rambut tersebut dan apabila McDougald cuba menyerang McAdory, tertuduh mengeluarkan pistol dan menembak mangsa," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Kesihatan Loyola University.
Mahkamah pada Ahad mengarahkan McAdory membayar ikat jamin AS$250,000 serta menetapkan 3 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.
#tembak mati #gunting rambut #didakwa
;