Gara-gara tiada anak, isteri didera suami bertindak bunuh diri

Astro Awani
Jun 27, 2020 17:34 MYT
Mangsa yang berusia 32 tahun ditemukan dalam keadaan tergantung di kediamannya di Hyderabad, India. - Gambar hiasan
Hanya kerana tidak dikurniakan cahaya mata sejak lapan tahun mendirikan rumah tangga, seorang wanita didera suaminya, hinggakan mangsa terpaksa mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Times of India melaporkan, mangsa yang berusia 32 tahun itu ditemukan mati dalam keadaan tergantung di rumahnya di CSK Villas di Rallaguda, Shamshabad, Hyderabad pada Khamis lalu.
Sebelum itu, mangsa yang pernah bekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat (IT), juga sempat memuat naik sebuah video di media sosialnya, yang mendedahkan penyeksaan yang berlaku ke atas dirinya hanya kerana dia tidak boleh mengandung.
Menurut sumber polis, berdasarkan siasatan awal, kemuncak kejadian itu berlaku pada Khamis lalu apabila pasangan itu dikatakan bertengkar gara-gara mereka tidak dikurniakan anak.
"Melihat video yang dimuat naik mangsa, salah seorang saudara mangsa bertindak menghubungi ibu bapa wanita itu, sebelum mereka menghubungi suaminya," katanya di sini, pada Jumaat.
Polis memberitahu, apabila suami wanita itu bergegas pulang ke rumah kira-kira pukul 11.30 malam, wanita itu ditemukan dalam keadaan tergantung.
Dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berhampiran.
Kata polis, dalam pada itu, wanita itu turut meninggalkan sekeping nota yang mendedahkan hubungan sulit suaminya dengan seorang wanita.
"Kami masih menyiasat dakwaan yang mengatakan suami mangsa mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain.
"Walaupun begitu, kami menahan suami mangsa bagi membantu siasatan," jelasnya.
#bunuh diri #cahaya mata #gantung diri #Hyderabad #India #laman sosial #Narendra Modi #Times of India
;