Gara-gara terkena radang dingin, kucing ini mendapat empat kaki bionik baharu

Agensi
Jun 10, 2019 14:19 MYT
Doktor haiwan klinik Novosibirsk, Sergey Gorshkov berkata Ryzhik merupakan kucing pertama di dunia yang menjalani pembedahan sedemikian. - Foto: YouTube Live News 247
SEEKOR kucing yang kehilangan semua kakinya akibat radang dingin (frostbite) menjadi kucing pertama di dunia dipasangkan dengan empat anggota buatan baharu.
Kaki haiwan yang terbiar itu harus dipotong akibat gangren selepas ia menderita terkena elemen sejuk ekstrem sewaktu di kota Tomsk, Siberia, yang ketika itu mencatatkan suhu menurun hingga 40 darjah Celsius.
Kucing yang bernama Ryzhik itu kini belajar berjalan semula selepas dipasang dengan implan titanium khas.
Biasanya kucing di Rusia akan dibunuh jika mengalami nasib yang sama seperti Ryzhik, tetapi mujur ia telah ditemui dan dijaga oleh seorang pemilik baharu yang penyayang.
Sebuah klinik di Novosibirsk memasangkan kaki bionik baharu itu kepada Ryzhik menggunakan tomografi komputer yang canggih dan pemodelan tiga dimensi (3D).
Doktor haiwan klinik tersebut, Sergey Gorshkov berkata, Ryzhik merupakan kucing pertama di dunia yang menjalani pembedahan sedemikian.
"Anggota-anggota bionik itu telah sambung sepenuhnya dengan kulit dan tulang.
"Bahagian titanium yang masuk ke dalam badan adalah seperti span dan tisu tulang akan tumbuh di dalamnya,” katanya.
Ryzhik, yang bermaksud 'redhead' atau merujuk kepada warna halia dalam bahasa Rusia, tidak cuba menanggalkan anggota badan bioniknya itu, sekali gus menandakan ia berpuas hati dengan fungsi dan cara pergerakannya.
Klinik Gorshkov adalah perintis kaedah baharu untuk membantu haiwan dalam kesusahan, termasuk teknik lain yang boleh memanfaatkan anggota tiruan kepada burung.
#bionik #gangren #kaki #kucing #Novosibirsk #radang dingin
;