Gara-gara sibuk bekerja, lelaki Jepun 'lupa' kebumikan jasad bapanya

Agensi
April 21, 2018 14:47 MYT
Pihak polis akan menjalankan bedah siasat terhadap jasad Michio untuk mengetahui punca sebenar dia meninggal dunia. - Gambar hiasan/iStock
Polis Tokyo telah menahan seorang lelaki berusia 49 tahun atas dakwaan mengabaikan mayat mendiang bapanya selama dua bulan di rumah mereka, di kawasan kejiranan Setagaya.
Menurut sumber polis, Masashi Kinoshita menghubungi polis pada Selasa dan memberitahu bahawa bapanya, Michio, 89 tahun, telah menghembuskan nafas terakhir di apartmen mereka.
Apabila polis tiba, mereka menemui mayat Michio yang semakin mereput, lapor portal berita Japan Today.
Masashi apabila disoal siasat polis berkata, bapanya ‘berhenti bergerak sekitar penghujung Februari lalu’ dan dia tidak tahu hendak berbuat apa-apa kerana terlalu sibuk dengan kerja.
Tanpa berusaha menghubungi pihak yang boleh menguruskan hal-hal kematian, dia sebaliknya hanya membiarkan jasad bapanya itu terbaring di ruang keluarga dalam apartmen berkenaan.
Masashi berkata, dia akhirnya dapat mengambil cuti untuk menghubungi polis.
Pihak polis mengulas, mereka belum menentukan pertuduhan yang layak dikenakan kepada Masashi, dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian Michio.
#Jepun #kebumi #kerja #lelaki #mayat bapa #mendiang
;