Gara-gara 'selfie' ekstrem, pasangan kekasih maut

Sinar Harian
Oktober 31, 2018 16:17 MYT
pasangan tersebut turut dikatakan telah memasang tripod berhampiran kawasan tebing yang curam dekat pergunungan Sierra Nevada, California pada petang Selasa. - Foto Sinar Harian
NIAT sepasang kekasih yang ingin menggembara mengelilingi dunia bertukar tragedi apabila mereka maut ketika sedang berswafoto.
Menerusi laporan news.sky, mayat pasangan dari India, Vishnu Viswanath, 29 tahun, dan Meenakshi Moorthy, 30 tahun, ditemui anggota renjer hutan di sebuah destinasi pelancongan popular di Amerika Syarikat (AS), Taman Nasional Yosemite.
Pasangan itu dilaporkan terjatuh dari ketinggian 245 meter di bawah Taft Point, di mana pelawat dibenarkan berjalan ke tepi cenuram yang tidak berpagar dan menjadi lokasi popular untuk berselfie.
Menurut abang kepada Vishnu, Jishnu Viswanath, pasangan tersebut turut dikatakan telah memasang tripod berhampiran kawasan tebing yang curam dekat pergunungan Sierra Nevada, California pada petang Selasa.
Pengunjung menjumpai sebuah kamera keesokan paginya dan mereka memaklumkan kepada renjer hutan mengenai penemuan itu.
Pasukan renjer hutan menjumpai mayat pasangan itu pada Khamis kira-kira 800 meter dibawah Taft Point.
Jurucakap Yosemite, Jamie Richards berkata dia tidak tahu bagaimana renjer tersebut menjumpai mayat pasangan itu tetapi operasi mencari dan menyelamat berkenaan amat mencabar.
Moorthy yang bercita-cita untuk menjadi seorang blogger pengembaraan pernah menulis tentang percubaan selfie 'berani mati' di Instagramnya.
#Amerika Syarikat #California #India #maut #mayat #meenakshi moorthy #pelancongan #selfie #swafoto #taft point #taman nasional yosemite #vishnu viswanath
;