Gara-gara perpecahan politik, Libya sambut Aidilfitri pada dua tarikh berbeza

Agensi
April 22, 2023 17:02 MYT
Orang ramai menghadiri solat sunat Aidilfitri di Benghazi, Libya pada 21 April. - Foto REUTERS/Esam Omran Al-Fetori
BENGHAZI: Rakyat Libya merayakan Aidilfitri dan mengakhiri bulan Ramadan pada hari yang berbeza tahun ini susulan perpecahan politik yang berterusan walaupun usaha perdamaian sudah berjalan selama bertahun-tahun.
Pihak berkuasa agama di timur Libya, berkata mereka telah melihat anak bulan pada Khamis, menjadikannya hari terakhir berpuasa dan menetapkan hari Jumaat sebagai hari raya.
Di Tripoli, ibu negara, pihak berkuasa agama yang dikaitkan dengan kerajaan sementara negara itu berkata mereka tidak melihat bulan yang menandakan hari raya jatuh pada hari Sabtu.
"Masyarakat kita berpecah sehingga tarikh hari raya pun tidak dapat dapat dipersetujui. Ini kerja gila dan saya berharap ia cepat berakhir," kata Ahmed Mesbah, 50, di Tripoli, yang telah memilih untuk menyambut hari raya pada hari Jumaat.
Tarikh hari raya biasanya ditetapkan oleh pihak berkuasa agama rasmi di setiap negara, tetapi Libya melalui konflik berterusan sejak pemberontakan yang disokong NATO pada 2011 menentang pemerintah Muammar Gaddafi.
Negara tersebut berpecah pada 2014 antara puak yang bertelagah di timur dan barat, dan situasi itu masih kekal walaupun keadaan menjadi sedikit tenang sejak 2020.
"Perpecahan antara timur dan barat pada hari yang menggembirakan, menyakitkan dan membuatkan saya sedih. Saya takut lebih banyak perpecahan berlaku di Libya," kata Mohamed Salem, di Tripoli, yang menyambut Aidilfitri pada Sabtu.
Perdana Menteri, Abdulhamid al-Dbeibah berkata orang ramai harus mengikut keputusan mufti besar dan berhari raya pada Sabtu.
Parlimen, yang menyokong pentadbiran pembangkang, berkata Aidilfitri disambut pada hari Jumaat.
#Libya #Aidilfitri #hari raya #politik
;