Gara-gara mogok, bapa tergamak campak anak sendiri
Agensi
April 13, 2018 19:59 MYT
April 13, 2018 19:59 MYT
Seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan atas tuduhan cuba membunuh anaknya sendiri kerana mencampak anaknya dari atas bumbung rumah setinggan.
Tindakan itu dipercayai dilakukan atas tanda protes terhadap perobohan perumahan setinggan yang dibina di Bandar Kwadwesi berhampiran Pelabuhan Elizabeth, sebelah timur Afrika Selatan.
Sebanyak 90 buah rumah setinggan telah dibina oleh penduduk tempatan di kawasan itu tetapi pihak berkuasa mengarahkan supaya perumahan itu dirobohkan.
Lelaki itu bertindak memanjat bumbung rumahnya dengan membawa anak perempuannya yang berusia enam bulan.
Enam orang polis mengawasi lelaki itu dari bawah manakala seorang lagi polis memanjat bumbung rumah itu untuk menenangkan lelaki itu yang sedang menghayun-hayun anaknya.
Sementara itu, sepasukan polis dihantar untuk memastikan keselamatan pekerja-pekerja yang ditugaskan untuk merobohkan perumahan haram itu.
Sebanyak 150 penduduk tempatan turut terlibat dengan mogok itu dengan melakukan kekecohan semasa perumahan itu hendak dirobohkan.
Mereka membaling batu-bata dan juga membakar tayar secara besar-besaran untuk menyekat jalan raya daripada dimasuki pihak berkuasa.
Menurut jurucakap polis Afrika Selatan, Kapten Andree Beetge, lelaki itu memanjat bumbung rumahnya bersama-sama anaknya kira-kira jam 10.40 pagi waktu tempatan untuk mengugut pihak berkuasa agar tidak merobohkan rumah mereka.
Lelaki itu dengan kejamnya mencampak anaknya jatuh dari atas bumbung namun berjaya diselamatkan apabila seorang polis menyambut kanak-kanak itu di bawah.
Akibat tindakannya yang melulu, lelaki itu telah ditahan dan diserahkan kepada Unit Keganasan Domestik, Perlindungan Kanak-kanak dan Penderaan Seksual.
Operasi perobohan perumahan haram itu turut berjaya dilaksanakan oleh pihak berkuasa atas sebab rumah-rumah setinggan itu telah dibina secara haram di atas tanah milik kerajaan.