Gara-gara kerap bermain TikTok, suami nekad ikat kaki isteri dengan rantai panjang
Mingguan Wanita
November 4, 2021 10:52 MYT
November 4, 2021 10:52 MYT
JAKARTA: Gara-gara sering bermain TikTok, seorang wanita di Jakarta dirantai oleh suaminya bagi mengelakkannya daripada terus menggunakan aplikasi tersebut, lapor laman berita Suara.com.
Video yang tular itu dikongsikan seorang pengguna dengan nama @ann***.
Dalam video tersebut, si isteri kelihatan sedang duduk di ruang tamu rumahnya dengan keadaan kaki kirinya kelihatan diikat dengan satu rantai panjang.
Menurut keterangan pada video tersebut, wanita itu dipercayai dirantai kerana kerap bermain TikTok.
Malah, anaknya juga dikatakan gembira melihat dirinya dirantai memandangkan tidak perlu lagi melihat ibunya membuat kandungan TikTok.
Netizen yang menonton video tersebut meninggalkan pelbagai pendapat di ruangan komen.
“Ya, memang seharusnya dibuat begitu supaya tidak boleh ke mana-mana,” demikian komen seorang netizen.
“Rasakan, disuruh memasak namun memilih untuk bermain TikTok,” komen netizen lain. – AGENSI