Gara-gara ditegur tak pakai pelitup muka, lelaki tumbuk dan gigit anggota polis
Astro Awani
April 2, 2021 13:03 MYT
April 2, 2021 13:03 MYT
Polis Australia terpaksa menyembur cecair pemedih mata terhadap seorang lelaki yang didakwa bertindak ganas di sebuah pasar raya New South Wales selepas diminta memakai pelitup muka.
Lelaki berusia 47 tahun itu dilaporkan memasuki Pasar Raya Lismore Central pada Khamis sebelum ditegur untuk memakai pelitup muka oleh pengawal keselamatan yang bertugas, memetik laporan news.com.au.
Pengawal keselamatan berkenaan turut memberikan lelaki berkenaan pelitup muka serta menjelaskan ia perlu dipakai di premis berkenaan.
Lelaki tersebut dilaporkan terus bertindak ganas dan menumbuk pengawal keselamatan tersebut beberapa kali di bahagian muka.
Orang ramai bergegas untuk membantu mengawal keadaan namun turut ditumbuk oleh lelaki tersebut di bahagian muka dan dada.
Anggota polis yang dikerah ke tempat kejadian juga ditumbuk beberapa kali di bahagian muka oleh lelaki tersebut, lapor portal berita tersebut.
Keadaan ini memaksa mereka menggunakan cecair pemedih mata terhadap lelaki berkenaan namun lelaki itu didakwa terus menendang anggota polis.
Dia kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Lismore dan terus mengganas dengan menggigit seorang anggota polis beberapa kali di bahagian tangan.
Sekali lagi polis terpaksa menyember cecair pemedih mata terhadapnya dan kini dia sedang menerima rawatan di Hospital Lismore Base.
Lelaki tersebut didakwa atas dua tuduhan melakukan serangan fizikal, melakukan serangan fizikal yang menyebabkan kecederaan, dua tuduhan menghalang anggota polis melaksanakan tugas, melakukan serangan fizikal terhadap anggota polis bertugas, melakukan serangan fizikal terhadap anggota polis bertugas sehingga menyebabkan kecederaan dan merosakkan harta benda awam.
Dia turut didenda AU$1,000 (RM3,200) kerana ingkar SOP COVID-19.
#polis
#cecair pemedih mata
#pelitup muka
#pasar raya
#New South Wales
#Pasar Raya Lismore Central
#Australia
#tumbuk
#gigit
#SOP
#COVID-19