Gara-gara disuruh pakai pelitup muka, lelaki tembak mati juruwang
Astro Awani
Jun 15, 2021 09:35 MYT
Jun 15, 2021 09:35 MYT
SEORANG juruwang maut dalam kejadian tembakan susulan pertengkaran yang berlaku di sebuah kedai runcit di Georgia, Amerika Syarikat dipercayai akibat pemakaian pelitup muka, kata polis.
Dua individu termasuka seorang anggota polis turut tercedera dalam insiden terbabit yang berlaku pada Isnin.
Menurut kenyataan Biro Penyiasatan Georgia (GBI), Victor Lee Tucker, 30 tahun, mengunjungi kedai berkenaan tanpa memakai pelitup muka, memetik laporan ABC News.
Dia kemudian terlibat dalam satu pertengkaran dengan juruwang di kedai terbabit sebelum meninggalkan premis berkenaan.
"Tucker meninggalkan kedai itu tanpa membeli apa-apa namun dia kembali bersama sepucuk pistol dan terus menembak juruwang berkenaan," tambah kenyataan itu.
Seorang anggota polis yang tidak bertugas secara kebetulan berada di dalam kedai runcit berkenaan dan terus melepaskan tembakan ke arah Tucker, kata polis.
Tucker kemudian membalas tembakan anggota polis berkenaan yang turut terkena seorang lagi juruwang, menurut GBI.
Mangsa maut disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Grady Memorial.
Anggota polis tercedera bersama juruwang lain itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tucker ditahan dan dibawa ke balai polis Georgia untuk tindakan lanjut.