Gara-gara cuci akuarium, satu keluarga hampir temui ajal

Agensi
April 9, 2018 13:12 MYT
Batu karang jenis Pulsing Xenia itu mengeluarkan racun palytoxin yang menyebabkan sekeluarga Chris Matthews dan dua ekor anjingnya hampir maut. Foto New York Post - nypost.com
Siapa sangka rutin harian biasa seperti membersihkan akuarium mampu menyebabkan nyawa sekeluarga hampir melayang?
Insiden tidak dijangka ini dilaporkan berlaku di Oxfordshire, England apabila Chris Mattews sedang membersihkan akuarium di rumah pada hujung bulan Mac.
Keluarga dan dua ekor anjingnya hampir mati diancam keracunan setelah Matthews mengeluarkan batu karang jenis Pulsing Xenia dari akuariumnya dan membersihkan batu karang itu dengan mengikis bahagian yang kotor itu, lapor New York Post.
Selepas selesai membersihkan akuarium itu, lelaki berumur 27 tahun itu pergi ke bilik untuk tidur.
Keesokan harinya, Matthews dan teman wanitanya serta keluarganya dilaporkan mengalami simptom demam dan pening kepala yang teruk.
“Ianya lebih teruk daripada demam dan kami tidak mampu memberikan tumpuan sepenuhnya.
“Suhu badan kami semakin meningkat dan juga mengalami kesukaran bernafas serta sering batuk,” jelas Matthews.
Dia seterusnya meminta bantuan kecemasan segera dengan menghubungi bomba, polis dan ambulans.
Ketika pihak bomba yang terdiri daripada empat orang tiba di rumah itu, mereka juga jatuh sakit dan turut dimasukkan ke hospital bersama dengan Matthews dan sekeluarganya.
Rumah tersebut dilakukan proses pengalihan udara semalaman sementara pegawai kesihatan dan pegawai kimia sedang melakukan kerja mengeluarkan sisa-sisa batu karang itu.
Sungguhpun Matthews telah memelihara ikan dalam akuarium selama 12 tahun, dia langsung tidak mengetahui jenis batu karang dalam akuariumnya itu mempunyai racun yang berbahaya.
Dia tidak menyedari batu karang yang dicucinya itu mengeluarkan wasap beracun jenis palytoxin itu dan tersebar melalui udara ketika dia sedang mengikis batu karang untuk dibersihkan, lapor The Evening Times.
“Saya tahu batu karang itu ada racun, tapi saya tidak tahu langsung jika racun dalam batu karang itu mampu membunuh melalui udara walaupun telah dikeluarkan dari air.
"Mungkin keadaan akan lebih teruk dan semua kami mungkin juga akan menemui ajal jika kami tidak menyedari hal ini," katanya menurut laporan New York Times.
Menurut pakar virologi Dr. Mike Leahy, palytoxin yang terdapat dalam batu karang itu adalah toksik kedua beracun di dunia.
“Dengan hanya satu gram palytoxin sahaja mampu membunuh 80 orang dan racun tersebut boleh membawa maut jika ditelan,” katanya menurut laporan The Mirror.
Matthews dan sekeluarganya dilaporkan telah kembali pulih sepenuhnya sejak ditahan dalam hospital pada 29 Mac.
#akuarium #batu karang #England #hampir maut #keluarga #keracunan #membunuh #racun #toksik
;