Gara-gara bising berkokok setiap pagi, seekor ayam jantan disaman
Agensi
Julai 5, 2019 14:27 MYT
Julai 5, 2019 14:27 MYT
Sepasang suami isteri bertindak menyaman seekor ayam jantan kerana rimas dengan kokokan haiwan itu setiap pagi.
Ayam jantan bernama Maurice itu memang dikenali di kawasan Saint-Pierre-d'Oleron, Paris, malah kokokannya setiap pagi tidak ubah seperti jam loceng yang mengejutkan penduduk sekitar.
Pemilik Maurice, Corrine Fesseau menepis tuduhan itu dan menegaskan haiwan itu hanya ‘menjalankan’ tugasnya setiap hari.
Tindakan itu secara tidak langsung turut menimbulkan kemarahan pemilik haiwan di kampung itu yang nekad berkumpul di luar mahkamah untuk memberi sokongan kepada Maurice dan Fesseau.
Bagaimanapun, Jean-Louis Biron dan Joelle Andrieux serta Maurice dilaporkan tidak hadir ke mahkamah di Rochefort pada hari berkenaan.
Terdahulu, pasangan berkenaan membina sebuah pusat hiburan di kawasan terbabit, namun 15 tahun lepas, mereka memutuskan untuk menutup perniagaan itu dan menjadikannya sebagai rumah persendirian.
Salah satu alasan mengapa pasangan ini memilih Saint-Pierre adalah kerana ketenangannya.
Bagaimanapun, tahun 2017, bermula ‘perang’ antara pasangan itu dan Fesseau yang sudah menetap di kampung itu sejak 35 tahun lalu.
Keluhan itu kemudian menjadi pertengkaran di antara mereka yang kemudiannya membawa kepada perbalahan mengenai perundangan dan sebagainya.
“Ini amat tidak masuk akal jika mereka meminta agar ayam jantan di kampung ini tidak berkokok pada waktu pagi,” kata Corrine.
Kes masih berlangsung sebelum keputusan akan dibuat pada September depan.