Gara-gara benci, Muzium Guggenheim tawar tandas emas buat Trump
Azyyati Ahmad
Januari 27, 2018 07:50 MYT
Januari 27, 2018 07:50 MYT
PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump dan isterinya terus menerima tamparan hebat apabila terbaharu kurator Muzium Guggenheim menawarkan tandas bersalut emas padu kepada pasangan itu, lapor The Washington Post.
Penawaran itu diberikan kurator muzium selepas Trump dan isteri memohon mahu meminjam lukisan Van Gogh dari muzium berkenaan.
Tindakan itu ada hubung kait dengan Ketua Kurator Muzium, Nancy Spector, yang sebelum ini secara terbuka mengkritik Trump di media sosial dalam pelbagai isu.
Tandas yang bersalut emas 18-karat itu diberi judul America merupakan hasil karya Artis Itali Maurizio Cattelan.
Ia dianggarkan bernilai US$1 juta.
Spector telah menjawab emel pejabat White House mengatakan bahawa Trump boleh meminjam tandas berkenaan sehingga September ini.
Spektor memasukkan gambar dalam emelnya dan menulis "Kami minta maaf tidak dapat memenuhi permintaan asal anda, tetapi berharap tawaran istimewa ini mungkin menarik."
Bagaimanapun, White House hanya berdiam diri mengenai perkara itu.