Gantung akaun Twitter wartawan, Elon Musk dikritik lagi
Faida Rahim
Disember 17, 2022 11:30 MYT
Disember 17, 2022 11:30 MYT
NEW YORK: Penggantungan akaun Twitter terhadap sekumpulan wartawan atas dakwaan mendedahkan lokasi masa nyata jutawan Elon Musk mendapat kecaman daripada pegawai kerajaan, kumpulan advokasi dan organisasi kewartawanan di seluruh dunia.
Menurut laporan CNA, pegawai kerajaan dari Perancis, Jerman, United Kingdom dan Kesatuan Eropah mengecam tindakan platform itu yang dianggap menyekat kebebasan media.
Salah seorang penyelidik keselamatan terkenal menyifatkan tindakan Musk sebagai "pembunuhan beramai-ramai malam Khamis” serta menunjukkan hartawan itu dalam mengangkat kebebasan bersuara namun menyekat suara pengguna yang tidak disukainya.
Menteri Perindustrian Perancis Roland Lescure menciap berikutan penggantungan akaun terhadap sekumpulan wartawan, beliau juga akan menggantung aktivitinya di Twitter.
Dalam masa sama, ketua komunikasi untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Melissa Fleming menciap beliau "sangat terganggu" dengan tindakan Musk dan menegaskan "kebebasan media bukan mainan."
Penggantungan itu berpunca daripada perselisihan faham mengenai akaun Twitter ElonJet yang menjejak pesawat peribadi Musk menggunakan maklumat yang tersedia secara umum.
Khamis lalu, Musk menggantung akaun Twitter sekumpulan wartawan yang mengkritiknya sejak pembelian platform media sosial itu. Antaranya O'Sullivan, wartawan New York Times Ryan Mac dan Drew Harwell dari Washington Post.