Ganti pesawat presiden Air Force One RM18 bilion, batalkan sahaja tempahan - Donald Trump

Agensi
Disember 6, 2016 23:37 MYT
TRUMP: "Boeing sedang membina Air Force One 747 yang baharu untuk presiden akan datang, tetapi kosnya menjadi tidak terkawal, lebih dari AS$4 bilion. Batalkan tempahan!". - Gambar fail
Presiden dipilih Amerika Syarikat Donald Trump menggesa kerajaan negara iu untuk membatalkan cadangan pembelian pesawat rasmi presiden, Air Force One yang baharu kerana terlalu mahal.
“Harga pesawat itu menjadi semakin di luar kawalan, setelah siap ia akan mencecah AS$4 bilion (RM18 bilion), untuk program Air Force One. Saya rasa ia tidak masuk akal. Saya rasa Boeing cuba buat untung. Kami mahu Boeing untung tetapi tidak sebanyak itu,” kata Trump kepada pemberita di lobi menara Trump di sini hari ini.
Trump memberikan reaksi berkaitan Air Force One sebelum ini di laman twitternya.
“Boeing sedang membina Air Force One 747 yang baharu untuk presiden akan datang, tetapi kosnya menjadi tidak terkawal, lebih dari AS$4 bilion. Batalkan tempahan!” menurut kenyataan Trump di tweet itu.
Tentera Udara Amerika Syarikat menganugerahkan kontrak awal dengan nilai AS$25.8 juta.
Perincian mengenai jumlah sepenuhnya kontrak baharu masih belum di dikeluarkan, tetapi Tentera Udara Amerika Syarikat menganggarkan kos akhir adalah AS1.65 bilion bagi menggantikan dua pesawat.
#Air Force One #Donald Trump #Presiden Amerika Syarikat
;