Gangguan sistem di beberapa pintu masuk Singapura - ICA

Bernama
Mac 31, 2023 15:20 MYT
Menurut Lapangan Terbang Changi, memandangkan berlaku gangguan pada sistem imigresen, penumpang dinasihatkan untuk berada di lapangan terbang lebih awal. - Fail/BERNAMA
SINGAPURA: Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura mengumumkan pihaknya kini sedang mengalami gangguan sistem di beberapa pusat pemeriksaan penumpang.
"...Kelewatan dijangka dan pengembara dinasihatkan untuk menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting, jika perlu," katanya dalam nasihat perjalanan setakat 12.03 tengah hari yang disiarkan di Facebook ICA hari ini.
Menurut agensi itu pelancong perlu merujuk maklumat di Facebook ICA untuk mendapatkan lebih banyak kemas kini rasmi.
"ICA kesal atas kesulitan yang dialami oleh pengembara dan memohon pengembara memahami dan bersabar," menurut agensi itu.
Rakaman terkini di kedua-dua Pusat Pemeriksaan Tanah Tuas dan Woodlands melalui laman sesawang onemotoring.lta.gov.sg menunjukkan trafik menuju ke republik itu mengalami kesesakan.
Sementara itu, menurut Lapangan Terbang Changi, memandangkan berlaku gangguan pada sistem imigresen, penumpang dinasihatkan untuk berada di lapangan terbang lebih awal.
"Bagi penumpang yang berlepas dengan penerbangan dalam masa sejam lagi, sila hubungi kakitangan untuk mendapatkan bantuan," menurut nasihat perjalanan setakat 1.34 tengah hari yang disiarkan di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, menurut Lapangan Terbang Changi, gangguan sistem imigresen telah menjejaskan lorong auto untuk penumpang yang berlepas dan tiba di semua terminal.
"Penumpang harus menjangkakan kelewatan dan berjumpa dengan kakitangan kami jika memerlukan sebarang bantuan," menurut lapangan terbang itu.
Dalam kemas kini pada 2.03 petang, ICA berkata tiada gangguan pada pelepasan imigresen di pintu masuk laluan laut.
Memandangkan semua lorong automatik berlepas di semua terminal di Lapangan Terbang Changi mengalami gangguan maka pengembara perlu menggunakan lorong manual untuk pelepasan imigresen.
"Beberapa lorong automatik tertentu di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas turut terjejas," kata ICA.
Sehubungan itu, ICA telah memanggil semua pegawai yang tidak bertugas untuk membantu bagi memastikan keadaan terkawal.
"Pengembara yang kini berada di pusat pemeriksaan dinasihatkan untuk memberikan kerjasama kepada pegawai di lokasi. Pelancong mungkin akan mengalami kelewatan untuk pemeriksaan imigresen.
"Kesulitan amat dikesali dan meminta pengembara bersabar serta memahami sementara menunggu pihak kami untuk menangani situasi itu," menurut ICA.
-- BERNAMA
#Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura #gangguan sistem #Pusat Pemeriksaan Tanah Tuas #Lapangan Terbang Changi
;