Gangguan IT global: Perniagaan di Thailand termasuk syarikat penerbangan dan hospital terjejas

Bernama
Julai 19, 2024 11:16 MYT
Hospital Siriraj Piyamaharajkarun mengeluarkan permohonan maaf di Facebook atas kelewatan perkhidmatan yang disebabkan oleh kegagalan sistem komputer di seluruh dunia. - Wikipedia
BANGKOK: Perniagaan di Thailand, termasuk syarikat penerbangan dan hospital telah terjejas akibat gangguan siber global.
Hospital Siriraj Piyamaharajkarun mengeluarkan permohonan maaf di Facebook atas kelewatan perkhidmatan yang disebabkan oleh kegagalan sistem komputer di seluruh dunia.
"Oleh kerana beberapa sistem komputer terganggu di seluruh dunia, sistem IT hospital terjejas. Mungkin terdapat kelewatan dalam perkhidmatan," katanya di sini pada Jumaat.
Hospital itu juga memaklumkan pesakit yang mempunyai janji temu hari ini akan dihubungi oleh pihak hospital secepat mungkin dan jika pesakit ingin membuat janji temu sendiri, mereka boleh menghubungi hospital secara langsung.
Hospital Siriraj Piyamaharajkarun dikendalikan oleh Fakulti Perubatan Hospital Siriraj Universiti Mahidol.
Sementara itu, AirAsia Thailand turut memuat naik hantaran di akaun Facebook mereka bahawa ia telah melaksanakan sistem sandaran manual untuk mengekalkan perkhidmatan, tetapi ini mungkin menyebabkan kelewatan dan kesulitan.
"Oleh kerana gangguan sistem Microsoft Azure yang menjejaskan operasi perkhidmatan darat, terdapat isu di seluruh dunia yang sedang diselesaikan. Ini menjejaskan sistem tempahan tempat duduk dan daftar masuk di semua lapangan terbang.
"Kami mengesyorkan penumpang tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas yang dijadualkan. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul," katanya.
Thai AirAsia adalah syarikat penerbangan tambang rendah di Thailand, usaha sama antara AirAsia Malaysia dan Asia Aviation Thailand.
Namun, pihak berkuasa Thailand, termasuk Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat (MDES), Bank of Thailand (BOT) dan Lapangan Terbang Thailand (AOT) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai gangguan siber berkenaan.
-- BERNAMA
#gangguan IT global #syarikat penerbangan #Hospital #Thailand #operasi terjejas