Gandingan Prabowo-Gibran dahului dengan 50.7 peratus dalam tinjauan terbaru

Bernama
Januari 31, 2024 23:09 MYT
Gandingan calon presiden dan naib presiden Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming mengekalkan kedudukan teratas dalam perlumbaan pemilihan presiden dengan memperoleh sokongan 50.7 peratus, berdasarkan tinjauan terbaru. - Foto AP
JAKARTA: Gandingan calon presiden dan naib presiden Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming mengekalkan kedudukan teratas dalam perlumbaan pemilihan presiden dengan memperoleh sokongan 50.7 peratus, berdasarkan tinjauan terbaru.
Mengikuti rapat ialah gandingan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar sebanyak 22 peratus manakala pasangan Ganjar Pranowo-Mahfud Md memperoleh 19.7 peratus.
Ia merupakan kali pertama gandingan Prabowo-Gibran melepasi had 50 peratus, menurut Lingkaran Survei Indonesia (LSI) Denny JA.
"Pada 50.7 peratus, kebolehpilihan Prabowo-Gibran telah melepasi angka penting untuk menang dalam satu pusingan sahaja dalam pilihan raya presiden," kata penyelidik kanan LSI Denny JA, Adjie Alfaraby.
Beliau berkata lebih 80 peratus daripada kesemua penyokong calon mahukan pilihan raya presiden satu pusingan. Jika tiada calon mencapai lebih daripada 50 peratus dalam pusingan pertama, pemilihan pusingan kedua dijadualkan berlangsung pada Jun.
LSI Denny JA menjalankan temu bual bersemuka dalam soal selidik dari 16 hingga 26 Jan, menggunakan kaedah persampelan rawak berbilang peringkat dengan 1,200 responden. Margin ralat adalah +- 2.9 peratus.
Tinjauan terbaru Lembaga Survei Indonesia dan Indikator Politik Indonesia masing-masing pada 20 Jan dan 18 Jan, mengesahkan penguasaan pasangan Prabowo-Gibran.
Sejumlah 240 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab penting mereka dalam menentukan kepimpinan negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu pada 14 Feb.
Mereka akan mengundi untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat, dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
-- BERNAMA
#negara demkookrasi #badan perundangan #tinjauan terbaru #angka penting
;