Gambar 'sempurna': Penduduk Notting Hill kurang selesa ragam pelancong

Agensi
Julai 8, 2024 15:00 MYT
Kebanyakan penduduk di Notting Hill memilih untuk berkompromi dengan ragam pelancong. - Gambar/ FB Angie Nicole Wilkes
BAGI kebanyakan orang, menetap di sesebuah kawasan yang cantik dan menjadi tumpuan pelancong adalah sangat mengkagumkan.

Ringkasan AI
  • Penduduk di Notting Hill, London, merasa kurang selesa dengan tingkah laku pelancong yang datang untuk mengambil gambar di kawasan kejiranan mereka yang terkenal dengan rumah dicat pastel dan menjadi latar filem "Notting Hill".
  • Alice Johnston, seorang wartawan yang tinggal di Jalan Portobello, menceritakan pengalaman peribadinya, termasuk pelancong meminjam anjing rakannya untuk bergambar dan gangguan lain seperti remaja mengambil gambar awal pagi dan lelaki tua mengambil gambar melalui tingkapnya.
  • Walaupun ada pelancong yang berkelakuan tidak wajar, penduduk memilih berkompromi, dengan sesetengah pemilik rumah bahkan memasang kotak derma untuk amal sebagai pertukaran untuk mengambil gambar di depan rumah mereka.

Namun, penduduk di Notting Hill, kawasan kejiranan di London yang terkenal dengan barisan rumah dicat pastel dan menjadi latar filem popular Julia Roberts dan Hugh Grant berjudul 'Notting Hill', menyuarakan perasaan kurang selesa dengan keadaan itu.
Alice Johnston, penduduk lama di Notting Hill, meluahkan perasaannya yang bercampur-baur, lapor CNN.
Dia yang juga seorang wartawan tinggal di Jalan Portobello, salah satu jalan paling terkenal di London dan telah menyaksikan pelbagai tingkah laku 'gila' yang dilakukan pelancong dalam mengejar gambar yang 'sempurna'.
Suatu ketika, dia dan rakannya berjalan dengan anjing peliharaan apabila seorang pelancong bertanya sama ada mereka boleh 'meminjam' anak anjing itu untuk bergambar.
"Rakan saya kemudian bersetuju, dan menyerahkan anjing itu lalu pelancong terbabit bergambar di hadapan sebuah rumah dengan pintu biru. Mereka kemudian memberi wang sebanyak lima pound dan mengucapkan terima kasih sebelum beredar.
"Dalam cerita itu, semua orang gembira. Tetapi mungkin ada sisi yang lebih gelap untuk hidup di dalam apa yang difikirkan oleh sesetengah orang sebagai set filem.
"Saya pernah dikejutkan pada pukul 6 pagi pada hari Ahad oleh remaja Perancis yang mengambil gambar di luar," kata Johnston.
Dia berkongsi anekdot lain: "Suatu ketika saya menukar pakaian selepas saya keluar dari bilik mandi dan ada seorang lelaki tua mengambil gambar (tingkap saya) dengan iPad," katanya.
Walaupun bidai ditutup pada masa itu, dia tetap terganggu dengan pengalaman itu.
Apabila rumah persendirian menjadi tarikan pelancong sedangkan ada orang yang tinggal di dalamnya - perselisihan boleh berlaku dan kebanyakan penduduk memilih untuk berkompromi dan melihat dalam sudut yang lebih baik.
Johnston berkata, pemilik rumah berwarna merah jambu berhampiran kediamannya, yang menjadi lokasi popular pelancong bergambar - sudah berputus asa untuk menghalang tindakan pelancong.
"Mereka kini meletakkan kotak derma meminta orang ramai menyumbang wang kepada badan amal sebagai pertukaran untuk merakam foto di situ," katanya.
Johnston cuba bersimpati kepada pelancong yang datang dari jauh dan mengakui dia sendiri suka bergambar apabila mengembara.
"Saya suka melancong, jadi saya perlu faham apabila orang datang ke tempat saya tinggal, dan saya rasa bertuah kerana orang ramai mahu datang ke tempat saya," katanya.
#notting hill #Julia Roberts #sikap pelancong #lokasi tumpuan pelancong
;