Gambar makam Ratu Elizabeth II berkemasan marmar hitam Belgium didedah kepada umum
Faida Rahim
September 25, 2022 15:08 MYT
September 25, 2022 15:08 MYT
LONDON: Istana Buckingham berkongsi kepada umum gambar makam mendiang Ratu Elizabeth II di Gereja Kecil Peringatan Raja George VI di Istana Windsor, pada Isnin.
Diperkemas dengan batu nisan yang diperbuat dari marmar hitam Belgium, ia turut memahat tarikh lahir serta tarikh kematian Ratu Elizabeth II yang memerintah selama 70 tahun sebelum meninggal dunia di usia 96 tahun.
Ratu Elizabeth II selamat disemadikan pada 19 September lalu di ruang yang sama menempatkan mendiang suaminya, Duke of Edinburgh.
Memetik laporan CNN, batu nisan itu disertakan tarikh kematian mendiang ibu dan bapa permaisuri Raja George VI, Permaisuri Elizabeth serta suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip yang meninggal dunia pada April 2021.
Dalam masa sama, turut dipahat dengan lambang bintang kesatriaan Order of the Garter, yang hanya dikhususkan untuk baginda Ratu dan keluarga diraja lain.
Istana Windsor ditutup sejak kemangkatan Ratu Elizabeth II pada 8 September dan dijangka akan dibuka semula untuk dilawati orang awam bermula pada 29 September.