Gambar cerun curam dirakam Mars Express di Marikh
Sinar Harian
Julai 29, 2022 10:15 MYT
Julai 29, 2022 10:15 MYT
WASHINGTON: Kapal angkasa Mars Express milik Agensi Angkasa Lepas Eropah (ESA) telah merakamkan imej lurah dalam bercerun tinggi dan curam yang dikenali sebagai Ngarai Valles Marineris di planet Marikh baru-baru ini.
Lurah itu sepanjang lebih 3,000 kilometer dan lebar lebih 190 kilometer serta sedalam kira-kira 6.43 kilometer.
Gambar itu menggunakan data daripada Kamera Stereo Resolusi Tinggi (HRSC) di atas kapal angkasa tersebut dan ia adalah imej dengan warna yang sebenar.
Mars Express sebelum ini telah menemui mineral sulfat yang mengandungi air di Marikh, menurut ESA.
Kapal angkasa itu telah mengorbit planet tersebut sejak tahun 2003 untuk menjalankan pelbagai eksperimen saintifik termasuk pengimejan permukaan Marikh, memetakan mineralnya, mengenal pasti komposisi dan peredaran atmosferanya dan melalukan penyelidikan di bawah keraknya. - Sinar Harian memetik Agensi