Gali kubur cari mayat mangsa dera

Sinar Harian
Julai 24, 2018 17:49 MYT
Pihak polis tempatan telah memulakan proses menggali kawawsan rumah tersebut untuk mencari mayat gadis itu namun belum menemui apa-apa setakat ini.
Polis di timur India terpaksa menggali semula kawasan perkuburan di sebuah rumah jagaan kanak-kanak perempuan susulan dakwaan lebih daripada 40 kanak-kanak diserang secara seksual dan seorang dibunuh di kawasan itu.
Arahan mahkamah diperolehi untuk menggali kubur di rumah jagaan menempatkan kanak-kanak perempuan miskin di bandar Muzaffarpur selepas salah seorang mangsa berkata melihat salah seorang kakitangan memukul kanak-kanak hingga mati.
"Kami menggeledah kawasan premis untuk mencari mayat," kata Ketua Inspektor Sunil Kumar.
Kumar berkata pakar forensik dan polis memantau kerja menggali menggunakan jentera jengkaut di kawasan yang dikenal pasti saksi.
Skandal itu mendapat perhatian Mei lalu selepas institut sosial yang berpangkalan di Mumbai mendedahkan laporan penderaan dan eksploitasi di rumah jagaan berkenaan.
Laporan itu mendedahkan wawancara dengan mangsa yang menceritakan layanan buruk penjaga mereka.
Sebelum ini media tempatan melaporkan pemeriksaan perubatan dijalankan mendapati 29 daripada mereka yang berusia antara tujuh hingga 17 tahun pernah dinoda.
Menurut beberapa mangsa mereka dipaksa tidur dalam keadaan tidak berpakaian bersama pengetua dan didera dalam tempoh beberapa bulan.
Ketua polis Muzaffarpur, Harpreet Singh berkata 10 orang termasuk kakitangan wanita dan pegawai kebajikan daerah ditahan untuk disoal siasat. - AFP
#dera #India #Kanak-kanak #kubur #mahkamah #mangsa #mati #mayat #Mumbai #polis #wanita
;