Gaji dipotong separuh gara-gara keluar rehat tiga minit lebih awal

Agensi
Jun 23, 2018 05:59 MYT
Pegawai itu dikatakan keluar awal untuk membeli Bento, sejenis makanan murah yang cepat habis pada waktu makan tengah hari. - REUTERS/Hannah Mckay
SEORANG pegawai kerajaan di Kobe, Jepun terpaksa menerima hakikat gajinya dipotong separuh hari selepas didapati kerap keluar makan tengah hari tiga minit lebih awal.
Pegawai berusia 64 tahun itu, yang identitinya tidak didedahkan, didakwa melakukan perkara itu sebanyak 26 kali dalam tempoh tujuh bulan, lapor portal CNN.
Pegawai itu dikatakan bertindak demikian untuk membolehkannya keluar membeli bento iaitu pelbagai jenis makanan yang diletak dalam bekas terbahagi yang kebiasaannya akan cepat habis apabila tiba waktu makan tengah hari.
Dalam satu sidang media, empat orang ketua jabatan tempat lelaki itu bertugas mengeluarkan permohonan maaf dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak beramanah.
"Kami kesal perkara ini berlaku di jabatan ini. Ia tidak boleh diterima dan kami memohon maaf," kata salah seorang pegawai mewakili jabatan terbabit.
Namun tindakan tegas itu menerima kritikan netizen yang berpendapat keluar awal tiga minit bukan satu isu besar.
"Kalau begitu, ramai pekerja yang perlu dipotong gajinya kerana kerap keluar untuk merokok semasa waktu kerja," kata seorang pengguna di Twitter.
#bento #gaji #Jepun #Kobe #makan tengah hari #pegawai kerajaan #rehat