Gajah Sumatera yang di ambang kepupusan berjaya lahirkan anak
Agensi
Jun 2, 2016 20:17 MYT
Jun 2, 2016 20:17 MYT
Seekor gajah Sumatera yang dikategorikan sebagai spesies yang hampir pupus berjaya melahirkan anak yang ketiga di Indonesia, lapor AFP yang memetik kata sumber rasmi tempatan, pada Khamis.
Anak gajah betina itu dilahirkan pada awal pagi Rabu di Taman Negara Tesso Nilo di pulau Sumatera, ujar ketua taman berkenaan Tandya Tjahjana.
"Anak gajah itu dalam keadaan sihat," ujar Tjahjana.
Ibu gajah itu merupakan sebahagian daripada pasukan pakar gajah dikenali sebagai The Flying Squad, yang membantu memastikan gajah-gajah liar di taman negara itu bergerak menjauhi kawasan populasi manusia.
Selama ini, berlaku beberapa kejadian gajah-gajah liar yang dibunuh berdekatan kawasan pertanian di Sumatera.
Kira-kira 150 ekor dipercayai masih berada di kawasan taman negara yang dilindungi itu.
Gajah Sumatera kini dalam status kritikal kerana tergolong dalam hidupan liar yang menghampiri kepupusan.
Kumpulan konservasi hidupan liar, WWF, menganggarkan hanya terdapat antara 2,400 hingga 2,800 ekor masih berada dalam habitat semula jadi.
Pada bulan lalu, seekor gajah spesies itu mati di dalam sebuah zoo yang serba kekurangan di bandar Bandung, hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.