Gajah Sumatera mengamuk, doktor haiwan maut di Jawa Tengah

Kohilah Sekaran
Mei 12, 2016 14:07 MYT
Esthi kembali ke tempat kejadian untuk menyelamatkan telefon bimbitnya, tanpa menyedari tindakan itu ada kemungkinan buruk. - Foto sumber Facebook
Seorang doktor haiwan maut selepas diserang seekor gajah Sumatera di sebuah pusat pelancong di Wonogiri, Indonesia.
Esthi Octavia Warahapsari, 25, merupakan doktor haiwan yang membantu menjaga dua ekor gajah Sumatera itu yang digunakan untuk menjejaki laluan trek pelancong di Pusat Perlindungan Gajah Mungkur.
Portal berita Kompas.com melaporkan, gajah bernama Panamtu itu tiba-tiba mengamuk ketika Esthi sedang melakukan pemeriksaan rutin termasuk mengambil gambar.
Dalam keadaan kecoh itu, salah seorang petugas yang mengawal Panamtu turut tercampak. Gajah itu kemudian menyondol Esthi hingga dia juga tercampak sejauh lebih tiga meter namun sempat diselamatkan oleh beberapa orang lain di sekitar lokasi.
Esthi bagaimanapun tersilap langkah, apabila kembali ke ruangan tersebut untuk mendapatkan telefon bimbitnya yang tercicir.
Dia bagaimanapun terpeleset jatuh, dan membolehkan Panamtu kembali menyerangnya.
Menurut laporan media lain, gajah itu telah membelit Esthi berkenaan dengan belalai, sebelum mengangkatnya dan melemparkannya ke tanah.
"Orang ramai melihat haiwan itu memijak mangsa tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa untuk membantunya," kata jurucakap pusat perlindungan tersebut.
Setelah gajah itu dapat ditenangkan dan dibawa kembali ke kandang, Esthi yang tidak bermaya terus hendak digegaskan hke hospital, namun dia meninggal dunia akibat kecederaan parah.
Jenazah Esthi dilaporkan akan dikebumikan di Gemawang, Bulukerto, Wonogiri, Jawa Tengah.
#dipijak #doktor haiwan #gajah #pulau jawa #Sumatera
;