Gajah Sumatera dijumpai mati sementara gadingnya hilang
Agensi
November 17, 2018 20:04 MYT
November 17, 2018 20:04 MYT
Seekor gajah Sumatera dijumpai mati dengan terdapat kesan gadingnya yang dipotong dan dilarikan, dalam satu insiden dipercayai melibatkan kumpulan pemburu haram yang menyasarkan haiwan terancam.
Agensi berita AFP melaporkan, khabar menyayat hati itu disahkan oleh pegawai agensi pemuliharaan Indonesia pada Jumaat.
Bangkai gajah jantan berusia 10 tahun itu ditemui di perkampungan Blang Awe di wilayah Aceh awal minggu ini.
"Gading gajah itu hilang dan terdapat banyak kesan darah di lokasi ia ditemui, ujar Ketua Pusat Konservasi Aceh, Sapto Aji Prabowo.
Sumber rasmi menganggarkan haiwan itu telah mati selama sekurang-kurangnya seminggu sebelum ditemui.
Punca sebenar kematiannya tidak dapat ditentukan dengan jelas kerana bangkainya sudah terlalu reput, ujar Prabowo.
Sampel tisu juga sudah diambil untuk mengnal pasti sama ada terdapat petanda keracunan.
Aktiviti meneroka hutan yang berleluasa telah mengurangkan habitat semula jadi haiwan berkenaan sekali gus mendekatkan konflik dengan manusia. Pada masa yang sama, gading gajah adalah antara item yang bernilai tinggi dalam pasaran gelap hidupan liar.
Sekurang-kurangnya 11 gajah liar di Aceh mati tahun lalu, dengan kebanyakan daripadanya dibunuh oleh manusia.
Pada Julai, seekor gajah Sumatera dijumpai mati akibat diracun di sebuah ladang minyak sawit.
Kementerian Alam Sekitar Indonesia menganggarkan kini hanya terdapat 500 gajah Sumatera yang masih hidup di Aceh.