Gajah liar musnah tanaman milik penduduk di Narathiwat ditangkap

Bernama
Januari 16, 2017 17:24 MYT
Kedua-dua ekor gajah itu didapati telah memusnahkan pokok-pokok getah milik penduduk - fotoBERNAMA
Dua ekor gajah liar dipercayai bertanggungjawab memusnahkan tanaman getah milik penduduk di daerah Resak dan Sisakorn di sini sejak lima bulan lepas berjaya ditangkap.
Kedua-dua ekor haiwan itu ditangkap dalam operasi 11 jam semalam oleh pegawai-pegawai Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar dengan kerjasama 200 anggota tentera, penduduk kampung dan kakitangan pejabat daerah.
"Kedua-dua ekor gajah liar yang ditangkap itu kemudiannya dipindahkan ke kawasan Taman Negara di Bang Lang, Yala, kira-kira 30km dari lokasi penangkapannya," kata pengarah kawasan Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar Thanit Nuyim di sini.
Kedua-dua ekor gajah itu didapati telah memusnahkan pokok-pokok getah milik penduduk selain menimbulkan ketakutan kepada masyarakat sekeliling, menyebabkan pihak jabatan mengambil tindakan segera, katanya.
Pihak jabatan, menurut beliau, menggunakan peluru berisi ubat pelali terhadap haiwan liar itu sebelum menangkap dan memindahkannya ke kawasan Taman Negara terbabit menggunakan lori. - BERNAMA
#Bang Lang #Jabatan Taman Negara dan Hidupan Liar #Resak #Thanit Nuyim
;