Gagal patuhi peraturan, polis Indonesia rancang sekat 191,000 telefon bimbit

Bernama
Ogos 3, 2023 17:30 MYT
Sejak 18 April 2020, kerajaan Indonesia telah mewajibkan pengguna, pengimport dan pengedar mendaftar IMEI dalam usaha mengawal pengedaran telefon bimbit yang diimport secara haram. - Gambar hiasan
JAKARTA: Polis Indonesia merancang untuk menyekat sejumlah 191,000 telefon bimbit, dengan iPhone menjadi majoriti, berikutan ketidakpatuhan terhadap peraturan Identiti Peralatan Mudah Alih Antarabangsa (IMEI) negara.
Langkah itu dibuat ketika Bahagian Jenayah Siber berusaha menangani isu kerugian pendapatan negara yang dianggarkan berjumlah 350 bilion rupiah (RM105 juta), akibat pengelakan duti import.
"Kami sedang mengenal pasti pendekatan terbaik supaya orang ramai tidak panik dan melindungi kepentingan mereka sebagai pengguna," menurut ketua bahagian Brigedier Jeneral Adi Vivid Agustiadi Bachtiar dalam satu kenyataan.
Sabtu lalu, agensi penyiasatan jenayah polis Indonesia menemui beberapa insiden akses haram ke pangkalan data Daftar Identiti Peralatan Berpusat (CEIR) Kementerian Perindustrian.
Hasil siasatan, enam individu ditahan termasuk empat pengedar telefon, seorang pegawai kementerian dan seorang pegawai kastam. Mereka didakwa melanggar Undang-Undang Maklumat dan Transaksi Elektronik kerana mendaftarkan IMEI secara haram dalam pangkalan data antara 10 dan 20 Okt 2022.
Penemuan lanjut mendedahkan bahawa suspek telah menerima pembayaran melalui satu akaun bank untuk secara haram membuka semula IMEI bagi pihak kementerian. Siasatan itu melibatkan soal siasat sekurang-kurangnya 15 saksi dan empat pakar.
Polis memulakan siasatan itu pada bulan Februari tahun ini setelah Kementerian Perindustrian melaporkan percubaan akses tanpa kebenaran ke CEIR.
IMEI ialah nombor pengenalan unik 15 digit yang diberikan kepada peranti mudah alih di seluruh dunia, berfungsi sebagai cap jari digital untuk membezakan satu peranti dengan peranti lain.
Sejak 18 April 2020, kerajaan Indonesia telah mewajibkan pengguna, pengimport dan pengedar mendaftar IMEI dalam usaha mengawal pengedaran telefon bimbit yang diimport secara haram.
-- BERNAMA
#Indonesia #polis #Telefon bimbit #IMEI
;