Gagal masuk gear 'P', kereta tenggelam dalam kolam
Agensi
Mac 29, 2018 22:27 MYT
Mac 29, 2018 22:27 MYT
SEBELUM ini kita pernah mendengar cerita pemandu memandu kereta mereka sehingga ke dalam sungai kerana terlalu percayakan sistem penentu kedudukan global (GPS).
Cerita ini bagaimanapun sedikit berbeza kerana ia membabitkan kecuaian akibat gagal memberhentikan kereta dengan baik.
Kejadian berlaku di Florida, Amerika Syarikat, apabila seorang pemandu wanita menyangka dia sudah memberhentikan kereta, namun kegagalan memasukkan gear 'P' (park) membuatkan kereta itu mengundur dan jatuh ke dalam kolam.
Dalam satu status Facebook yang dimuat naik Jabatan Polis Okaloosa, Florida, kejadian pada Rabu di sebuah hotel bajet itu menyebabkan bukan sekadar kereta Honda Civic yang dipandu tenggelam sepenuhnya, tetapi turut mengakibatkan suami dan anaknya yang berada dalam kereta, 'tenggelam' sama.
"Si ibu memandu keluar kereta dari tempat parkir, namun memberhentikan dan keluar kereta untuk mengambil barang. Tetapi dia lupa memasukkan gear 'P' menyebabkan kereta itu mengundur dan jatuh ke dalam kolam," kapsyen pada gambar menyebut.
Tidak dapat dipastikan berapa kos membaik pulih kereta itu, namun kedua-dua ayah dan anak selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.