Gagal daftar nama anak 18 perkataan, pasangan ini nekad mohon ihsan Presiden
Astro Awani
Oktober 12, 2021 10:33 MYT
Oktober 12, 2021 10:33 MYT
JAKARTA: Memilih nama yang sesuai untuk anak tersayang bukan sesuatu yang boleh dianggap remeh.
Selain nama yang mengandungi makna tersendiri, pemilihan nama yang biasanya tidak terlalu panjang disesuaikan bagi memudahkan proses pendaftaran juga untuk panggilan sehari-hari.
Namun, berbeza dengan pasangan suami isteri di daerah Tuban di Indonesia yang memilih 18 perkataan untuk nama anak lelaki mereka.
Anak lelaki pasangan itu diberi nama "Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi-Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta" atau ringkasnya "Cordo".
Bapa Cordo, Arif Akbar, difahamkan telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan surat beranak anaknya itu sejak dia dilahirkan pada Januari 2019, lapor Kompas.
Biarpun usaha mendaftarkan nama yang panjang itu menemui jalan buntu sejak tiga tahun lalu, mereka tidak putus asa, malah nekad untuk mengekalkan nama anak mereka biarpun dianggap terlalu panjang.
Terbaharu, pasangan suami isteri itu dilapor menulis surat memohon ihsan daripada Presiden Joko Widodo (Jokowi) bagi membolehkan pendaftaran nama anak mereka diluluskan.
Ia bertujuan, antara lain, memudahkan proses pendaftaran persekolahan Cordo kelak.
Pasangan itu dilapor turut enggan menerima cadangan menukar nama anaknya itu dan mendakwa 18 nama Cordo mempunyai konotasi falsafah yang mendalam merangkumi aspirasi dan doa mereka untuk masa depannya.
"Saya telah berjuang selama tiga tahun untuk memproses surat beranak anak saya di agensi tersebut.
"Setiap kali kami mengunjungi pejabat, kami disuruh menunggu.
"Kali terakhir, kami ditawarkan penyelesaian untuk menukar nama anak saya.
"Makna namanya adalah untuk dia menjadi tokoh duniawi yang terkenal di seluruh dunia... individu yang tidak berfikir secara sempit, atau primordial, tetapi memiliki wawasan global serta inisiatif dan kekuatan untuk merealisasikan wawasannya yang hebat," jelas Arif.
Sementara itu, menurut Ketua Perkhidmatan Pendaftaran Penduduk dan Sivil di Tuban, Rahmad Ubaid berkata sistem pendaftaran sivil di wilayah itu hanya membenarkan kemasukan 55 aksara termasuk tempat kosong.
Tambah Rahmad, pihaknya tidak meminta pasangan itu mengubah nama anak lelaki mereka, tetapi memendekkannya kepada maksimum 55 aksara untuk dimasukkan ke dalam sijil kelahiran rasmi.
Nama panjang Cordo mempunyai 132 aksara.
Cordo bukan satu-satunya kes pemberian nama anak yang luar biasa oleh ibu bapa.
Pada 20 Jun 2021, anak pembangun web Filipina menjadi viral setelah si ibu menamakan anaknya "HTML".
Tahun lalu, seorang gadis di Indonesia menjadi tular apabila diketahui namanya adalah "Ya" yang merupakan huruf terakhir dalam tulisan Jawi.