Gagal capai persetujuan dengan Indonesia, TigerAir Australia henti operasi ke Bali
Agensi
Februari 3, 2017 14:29 MYT
Februari 3, 2017 14:29 MYT
TigerAir Australia pada Jumaat berkata syarikat itu akan membatalkan semua laluan penerbangannya ke Bali selepas pihak berkuasa Indonesia meminta penukaran kepada model operasi baharu – satu permintaan yang memerlukan masa enam bulan untuk dilaksanakan.
Keputusan muktamad itu dibuat susulan pada bulan lalu, Indonesia menarik balik izin syarikat tambang rendah di bawah Virgin Australia Holdings tersebut kerana tidak patuh pada peraturan pesawat pajakan, lapor Reuters.
Virgin Australia sebelum ini menjalankan operasi pesawat sendiri sebelum bertukar kepada TigerAir dalam usaha mengembalikan semula keuntungan bahagian antarabangsanya.
Anak syarikat Virgin Australia itu dijangka memulakan semula penerbangan ke Bali pada hari ini (Jumaat), namun pada Khamis malam mereka memberitahu bahawa kelulusan dari pihak Indonesia masih belum diterima.
“Menawarkan perkhidmatan tambah rendah yang dipercayai adalah kritikal bagi Tigerair Australia dan pelanggan kami. Oleh itu, satu-satunya pilihan yang kami ada adalah untuk membatalkan penerbangan ke Bali sepenuhnya,” ujar Ketua Eksekutif TigerAir Rob Sharp dalam satu kenyataan.
Penumpang yang telah menempah tiket ke Bali akan menerima pulangan wang mereka, ujar kenyataan dari syarikat penerbangan itu.
Bali yang terkenal dengan tarikan pantai dan sawah padinya merupakan destinasi percutian popular dalam kalangan pelancong Australia.