Gadis lembam diperkosa ayah, abang dan adik lebih 120 kali
Sinar Harian
Februari 24, 2019 13:33 MYT
Februari 24, 2019 13:33 MYT
Apa yang menimpa remaja perempuan dikenali sebagai AG berusia 18 tahun ini sememangnya menyedihkan.
Dia menjadi mangsa nafsu serakah bapa, abang dan adik lelaki kandungnya sejak setahun lalu.
Jurucakap pihak berkuasa, Edi Qorinas berkata mangsa diperkosa ketiga-tiga ahli keluarganya sendiri selepas kematian ibunya, lapor detik.com.
"Bapa kandungnya dikenali sebagai M, 45, abangnya SA, 24, dan adik lelakinya YF, 15, telah merogolnya berulang kali di rumah mereka di Pekon Panggung Rejo, Kecamatan Sukoharjo, Kabupaten Pringsewu.
"Mangsa tidak mampu melawan kerana takut. Dia juga dipercayai mengalami kerencatan mental. Abangnya telah memperkosanya 120 kali dalam tempoh setahun manakala adiknya melakukan perbuatan itu sebanyak 60 kali. Bapanya pula melakukan beberapa kali.
"Mangsa dirogol lebih sekali pada setiap hari," jelasnya.
Perbuatan sumbang mahram itu terbongkar selepas penduduk kampung curiga dengan keluarga itu selain melihat keadaan fizikal AG yang semakin kurus.
"AG tidak dibenar keluar dan sering dikurung dalam rumah," ujar Edi lagi.
Menurutnya, mangsa telah ditempatkan di rumah bapa saudaranya dan keadaan kesihatannya dan mentalnya akan diperiksa dalam masa terdekat.
Ketiga-tiga pelaku juga sudah ditahan pihak berkuasa dan jika disabit bersalah boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun atau maksimum sehingga 15 tahun.