Gabenor Jakarta, Jokowi hasrat jalin kerjasama dengan SMART
Astro Awani
Jun 14, 2013 21:19 MYT
Jun 14, 2013 21:19 MYT
Gabenor Jakarta, Joko Widodo berhasrat menjalinkan kerjasama dengan pengendali Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) dan Syarikat Prasarana Negara Berhad.
Ia bertujuan berkongsi kepakaran kedua syarikat tempatan itu dalam pembinaan terowong dan sistem monorel.
Jelasnya, infrastruktur berkenaan sangat menarik dan ia boleh diguna pakai di Jakarta bagi mengelakkan banjir besar dan kesesakan lalu lintas.
"Ia sangat menarik dan banyak sekali yang boleh dipakai oleh Jakarta untuk memutuskan projek seperti ini,” ulas Jokowi.
Tambahnya lagi, "Saya kira dua-duanya bisa, monorel juga bisa kalau di sini juga mahu kerjasama dan di Smart Tunnel juga sama, saya kira bisa ada ini kesamaan dan dari segi bahasanya lebih mudah."
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di ibu pejabat Smart dan Prasarana di ibu negara hari ini.
Januari lepas Jakarta dilanda banjir besar yang mengakibatkan kerugian sebanyak IDR20 trilion.
Seminggu kemudian Jokowi mengumumkan hasrat pentadbirannya untuk membangunkan terowong pelbagai fungsi seperti Smart yang dibangunkan di negara ini.
Struktur jalan dan perparitan di Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 2007 itu, menjadi inspirasi kepada gabenor itu bagi mengatasi masalah banjir di Jakarta.
Menurutnya pelan pembangunan terowong mega berdiameter 16 meter itu, dijangka menelan belanja IDR16 trilion.