Gabenor Jakarta bimbang situasi COVID-19, doktor pula akui hospital kini huru-hara

Agensi
September 4, 2020 18:13 MYT
Warga Jakarta yang bersesakan di sebuah hentian bas, ketika bandar raya itu berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang semakin memburuk. - Reuters
Rekod penularan COVID-19 di Jakarta yang semakin meningkat mencetuskan kebimbangan Gabenornya, Anies Baswedan, sementara para petugas barisan hadapan di hospital-hospital di ibu negara Indonesia itu mengakui situasi kini agak huru-hara.
Portal berita Kompas.com melaporkan, Anies memberitahu, peningkatan angka penularan COVID-19 berkadar langsung denga jumlah ujian yang dibuat pihak berkuasa Jakarta.
Pihak berkuasa Jakarta telah melakukan ujian saringan lima kali lebih tinggi daripada had ideal yang ditentukan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Bahkan, Anies mengesahkan, Jakarta adalah salah satu daripada dua provinsi di Indonesia yang melakukan ujian secara besar-besaran.
“Di Indonesia hanya ada dua provinsi yang jumlah ujian melampaui angka WHO, yakni Jakarta dan Sumatera Barat. Situasi Jakarta sekarang membimbangkan. Kenapa? Dalam tiga minggu terakhir, angka penambahan kes positif harian terus meningkat.
“Ertinya apa? Kita mengesan lebih banyak, penularan juga terjadi dalam jumlah yang banyak," kata Anies seperti yang tersiar dalam KompasTV, pada Khamis.
Anies sekali lagi mengingatkan warga ibu negara warga disiplin menjalankan protokol kesihatan iaitu memakai peitup muka, menjaga jarak, dan membiasakan rutin mencuci tangan.
Portal berita itu turut melaporkan, salah seorang doktor di hospital pusat rawatan COVID-19 yang dikenali sebagai Ola, 25, mendedahkan bahawa situasi di tempat dia bertugas ‘memang kacau’.
Menurutnya, pesakit-pesakit COVID-19 kini datang berbondong-bondong ke hospital, dan jumlah itu semakin banyak berbanding ketika kes jangkitan itu mula-mula dikesan di Indonesia.
Sebahagian daripada pesakit itu datang dalam keadaan sesak nafas.
Chaos (huru-hara), sangat, sangat chaos. Seperti yang kita lihat di berita itu benar. Ya, graf sedang meningkat, pesakit makn ramai yang datang, dengan tiba-tiba membawa hasil swab positif dan dalam keadaan terdesak memerlukan rawatan.
“Lebih parah dibandingkan sebelumnya,” kata Ola saat dihubungi Kompas.com.
Ola mengaku agak cemas dengan keadaan sebegitu.
Tambahnya lagi, setelah enam bulan, situasi pandemik tidak berkurangan, malah bertambah buruk. Ola sendiri tidak pasti sampai bila dirinya dan rakan-rakan tenaga perubatan lain perlu mengenakan pakaian perlindungan diri selama lapan jam sehari untuk merawat pesakit.
Dedah Ola, dia kerap berasa hiba setiap kali melihat pesakit yang dihantar ke hospital oleh ahli keluarga. Hanya ada dua kemungkinan nasib pesakit itu – mereka keluar dari hospital dalam keadaan sudah sembuh, atau nyawa berakhir.
“Saya sangat sedih ketika melihat pesakit terus-menerus ke hospital. Saya melihat pesakit itu dihantar keluarganya tanpa tahu adakah itu hari terakhir mereka ketemu bapa atau ibunya atau dapat pulang setelah pulih,” luah Ola.
Pada Jumaat, Indonesia mencatatkan 3,269 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 187,537 kes.
Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 44,280 kes, dengan tambahan 880 kes baharu.
#Anies Baswedan #COVID-19 #Hospital #Indonesia #Jakarta #jangkitan #kes positif #pandemik #rawatan #rumah sakit
;