Gabenor Bank of Finland umum bertanding pemilihan presiden

Bernama
Jun 21, 2023 04:45 MYT
Olli Rehn bercakap kepada media di Helsinki, Finland, 17 Julai 2018. - Gambar fail REUTERS
HELSINKI: Gabenor Bank of Finland, Olli Rehn mengumumkan kesediaannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden negara itu yang dijadualkan pada Januari 2024, lapor Sputnik.
Dalam taklimat media pada Rabu, Rehn berkata beliau bersedia untuk bertanding jawatan presiden secara bersendirian dan dengan sokongan partinya, Centre Party dan akan bercuti sepanjang kempen pilihan raya.
Tinjauan pendapat menunjukkan Rehn merupakan antara calon paling berpotensi.
Bekas menteri luar Pekka Haavisto, Ahli Parlimen Harry Harkimo dan saintis politik Mika Aaltola juga telah mengisytiharkan hasrat mereka untuk bertanding.
Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh akhbar Helsingin Sanomat pada Mei, menunjukkan 36 peratus pengundi akan mengundi Haavisto, 31 peratus untuk Rehn dan 24 peratus lagi menyokong Aaltola.
Pilihan raya itu dijadualkan pada 28 Januari 2024. Jika pusingan pertama tanpa pemenang, pusingan penentuan akan berlangsung pada 11 Februari.
-- BERNAMA
#Gabenor Bank of Finland #pilihan raya presiden Finland #Olli Rehn #Finland
;