Gabby Petito: Keluarga adakan upacara memperingati, tunang masih diburu polis
Agensi
September 26, 2021 23:35 MYT
September 26, 2021 23:35 MYT
NEW YORK: Keluarga Gabby Petito mengadakan satu upacara memperingati pada Ahad di Long Island, New York.
Bapanya, Joseph Petito memaklumkan seluruh keluarga sangat berterima kasih dengan sokongan yang diterima selepas tragedi yang menimpa anak gadis mereka itu.
"Kami dengan rendah hati sangat menghargai sokongan komuniti di seluruh negara dan dunia," tulisnya di Facebook.
Gabby Petito, 22, dilaporkan hilang Ogos selepas memulakan perjalanan cross-country bersama tunangnya, Brian Laundrie. Pasangan itu mendokumentasikan perjalanan mereka di YouTube dan Instagram.
Ibu Petito memaklumkan kali terakhir dia bercakap dengan anak perempuannya itu melalui FaceTime pada 24 Ogos ketika pasangan tersebut meninggalkan Salt Lake City menuju Taman Nasional Grand Teton di Wyoming.
Laundrie kemudiannya pulang bersendirian ke North Port, Florida dengan van mereka pada 1 September. Laporan daripada keluarga Petito tentang kehilangannya dibuat 10 kemudian.
Mayat Petito ditemui Ahad minggu lalu di sebuah kawasan perkemahan di Wyoming.
Polis mengesahkan ia diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan punca kematian akan ditentukan apabila proses autopsi selesai.
Laundrie, 23, yang menjadi suspek utama, pula dilaporkan hilang sehari selepas mayat Petito ditemui.
Pihak berkuasa kini memfokuskan pencarian Laundrie di Carlton Reserve, sebuah kawasan seluas kira-kira 25,000 ekar di mana dia dilaporkan keluar mendaki, 16 September lalu.