G20: Xi gesa tarik balik sekatan unilateral

Bernama
November 15, 2022 18:01 MYT
Xi yakin isu itu boleh diselesaikan melalui kerjasama antarabangsa menerusi pemantauan ke atas pasaran serta mewujudkan pasaran komoditi yang terbuka dan mampan. - Gambar/ AP
BEIJING: Presiden China Xi Jinping pada sidang kemuncak G20 Selasa, menggesa ekonomi global utama menentang tindakan mempolitikan dan menjadikan dagangan makanan dan tenaga sebagai senjata, selain menarik balik sekatan unilateral dalam kerjasama penyelidikan dan teknologi, lapor Sputnik.
"Kita perlu menentang sebarang tindakan mempolitikkan atau menjadikan isu makanan dan tenaga sebaga senjata dengan sengaja. Sekatan perlu ditarik balik secara unilateral dan membatalkan sekatan dalam bidang kerjasama penyelidikan dan teknologi yang berkaitan," kata Xi memetik laporan China Central Television (CCTV).
Pemimpin China itu yakin isu itu boleh diselesaikan melalui kerjasama antarabangsa menerusi pemantauan ke atas pasaran serta mewujudkan pasaran komoditi yang terbuka dan mampan, menggunakan usaha bersama untuk menstabilkan harga dan rantaian bekalan.
"Jaminan keselamatan makanan dan tenaga adalah cabaran paling relevan dalam pembangunan global. Krisis semasa bukanlah disebabkan isu pengeluaran dan permintaan tetapi masalah dalam rantaian bekalan dan gangguan dalam kerjasama antarabangsa," kata Xi.
Selain itu, Xi berkata peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga boleh baharu sangat penting kerana ia tidak akan merosakkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.
Sidang kemuncak G20 berlangsung di pulau Bali Indonesia dari 15-16 Nov.
-- BERNAMA
#Sidang Kemuncak G20 #G20 #China #Xi Jinping
;