G20 setuju kenakan cukai 15% ke atas keuntungan firma besar
Astro Awani
Oktober 31, 2021 08:31 MYT
Oktober 31, 2021 08:31 MYT
ROM: Pemimpun negara anggota G20 meluluskan perjanjian untuk mengenakan sekurang-kurangnya 15 peratus cukai ke atas keuntungan firma perniagaan besar.
Keputusan ini susulan kebimbangan firma besar mengalihkan keuntungan mereka ke wilayah dengan kadar cukai rendah.
Kadar cukai baharu ini dipersetujui di Sidang Kemuncak G20 yang sedang berlangsung di Rom, Itali.
Perjanjian cukai, yang diusulkan Amerika Syarikat, dijangka akan diratifikasi secara rasmi pada Ahad dan akan mula dikuatkuasakan pada 2023.
Menurut Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann, syarikat multinasional di dunia kini perlu membayar kadar cukai yang adil dalam pasaran mereka beroperasi.
"Apa yang kami lakukan di sini, ada dua asas reformasi, yang pertama, menyusun semula hak cukai.
"Ini bermakna dalam amalan lazimnya, syarikat multi nasional di dunia kini perlu membayar kadar cukai yang adil dalam pasaran mereka beroperasi dan peroleh keuntungan.
"Kami juga bersetuju asas kedua reformasi itu, untuk memperkenalkan kadar cukai korporat 15 peratus. Ia menghapuskan keseluruhan insentif perniagaan untuk struktur semula operasi mereka bagi elak cukai," katanya.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Janet Yellen menyifatkan perjanjian ini sebagai detik kritikal buat ekonomi global.
Ia juga akan menamatkan perlumbaan untuk mengelak cukai korporat.
Selain isu cukai, perihal perubahan iklim dan COVID-19 turut menjadi agenda perbincangan.
Ini adalah kali pertama sidang kemuncak menemukan pemimpin secara fizikal pasca pandemik.
Sidang G20 berlangsung ketika ambang penganjuran Sidang Kemuncak Perubahan Iklim, COP26, yang bermula Isnin.
Apa jua yang dicapai di Rom, akan beri bayangan nada perbincangan di COP26.