FTA Malaysia-Korea akan dimuktamadkan tahun depan - PM

Irfan Faruqi
November 25, 2024 15:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalam dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dalam lawatan rasmi ke Korea Selatan di sini, hari ini. - Gambar/ Bernama
SEOUL: Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Korea akan dimuktamadkan pada tahun depan, dengan komitmen daripada kedua-dua negara untuk menyegerakan sebarang rundingan tertangguh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perjanjian berkenaan dijangka akan ditandatangani semasa lawatan balas Presiden Republik Korea, Yoon Suk Yeol ke Malaysia akan datang.
Menurutnya, rundingan tersebut tertangguh sejak 2019 kerana ketidakstabilan politik yang melanda negara ketika itu, tetapi senario perniagaan dan politik adalah lebih baik ketika ini.
“Kami (Anwar dan Yoon) bincangkan pagi tadi, bahawa kami akan permudah dan percepat proses rundingan berkaitan FTA. Apabila dia (Presiden Yoon) datang ke Malaysia pada tahun depan, kita akan tandatangan dan muktamadkan FTA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Perniagaan Malaysia-Korea 2024 di sini hari ini.
Anwar turut menekankan, Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai sebuah negara dagang dengan dasar yang jelas untuk meningkatkan potensi ekonomi negara dan rantau ASEAN secara menyeluruh.
“Kerajaan ketika ini bertekad untuk lakukan apa sahaja perubahan yang perlu untuk jadikan Malaysia menarik (kepada perniagaan dan pelabur) dengan dasar yang betul, insentif yang wajar dan infrastruktur yang cukup.
"Ini termasuk latihan, bakat profesional dengan pengetahuan teknikal... Isu-isu ini sedang diambil tindakan. Oleh itu, anda dapat lihat kadar pembangunan (yang meningkat) dan ada kapasiti menarik industri baharu,” ujarnya.
Forum Perniagaan Malaysia-Republik Korea 2024 dihadiri oleh 147 syarikat tempatan yang melibatkan 60 syarikat pembuatan, 78 syarikat perkhidmatan, runcit dan pengedaran, serta sembilan pertubuhan perniagaan.
Syarikat-syarikat tersebut mempunyai kepakaran dalam sektor kimia dan pengeluaran produk kimia; teknologi maklumat dan perkhidmatan digital; teknologi dan mobiliti hijau; agrokomoditi; farmaseutikal; makanan dan minimum; perkhidmatan perundingan dan kewangan; petroleum dan petrokimia; pembinaan dan kejuruteraan; tekstil; dan Fast-Moving Consumer Goods (FMCG).
#FTA Malaysia-Korea #perjanjian perdagangan bebas #Anwar Ibrahim #lawatan kerja
;