'French Spiderman' daki bangunan 48 tingkat di usia emas

Astro Awani
September 18, 2022 10:00 MYT
Alain Robert memanjat bangunan TotalEnergies di La Defense, Perancis pada 17 September 2022. -REUTERS
PARIS: Pendaki bebas yang digelar 'French Spiderman' memanjat sebuah bangunan pencakar langkit 48 tingkat di Paris, pada Sabtu.
Alain Robert mahu memenuhi matlamat yang telah ditetapkan untuk dirinya sebaik sahaja mencapai usia 60 tahun.
Robert sempat melambai sejurus menawan puncak bangunan TotalEnergies setinggi 187 meter di daerah perniagaan La Defense, di ibu negara Perancis itu.
"Saya mahu menghantar mesej kepada orang ramai bahawa umur 60 tahun bukanlah apa-apa.
"Anda masih boleh bersukan, aktif, melakukan perkara yang hebat," kata Robert, yang meraikan ulang tahun kelahirannya ke-60 bulan lalu.
"Saya berjanji kepada diri sendiri beberapa tahun lalu bahawa apabila saya mencapai usia 60 tahun, saya akan mendaki menara itu semula kerana 60 tahun melambangkan umur persaraan di Perancis dan saya fikir itu adalah sentuhan yang bagus," katanya kepada Reuters.
Robert, yang telah beberapa kali mendaki menara TotalEnergies, melakukan pendakian untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim.
Dia mula mendaki pada tahun 1975, berlatih di tebing berhampiran kampung halamannya di Valence di selatan Perancis.
Robert melakukan pendakian solo pada tahun 1977 dan dengan pantas menjadi pendaki terbaik.
Sejak itu, dia telah memanjat lebih 150 bangunan tinggi di seluruh dunia, termasuk Burj Khalifa Dubai - bangunan tertinggi di dunia, Menara Eiffel, dan Jambatan Golden Gate di San Francisco.
Robert juga telah ditangkap beberapa kali kerana memanjat tanpa kebenaran.
Dia dikenali kerana tekniknya yang hanya menggunakan tangan kosong, sepasang kasut memanjat serta beg serbuk kapur untuk mengelap peluh.
#French Spiderman #Alain Robert #Pendaki bebas #bangunan pencakar langkit 48 tingkat di Paris
;